Kerana Setiap Orang Punya Kisah Tersendiri

Assalamualaikum.

Dunia sememangnya menjadi pentas ujian bagi manusia untuk diuji sejauhmana tahap keimanan dan ketaqwaan mereka. Supaya nanti dapat dipilih siapa yang berjaya kembali ke kampung asal kita, syurga.

Kasihnya Allah, Dia ciptakan manusia dengan pelbagai kelengkapan bagi memudahkan kehidupan. Malah, segala gala yang ada di atas dunia seperti haiwan, tumbuhan, tanah dan sebagainya adalah untuk manusia sendiri. Namun, sayang seribu kali sayang, tak banyak yang menghargai nikmat Allah dan menjadi makhluk lupa diri dan paling banyak membantah.

Dia telah menciptakan manusia dari mani, ternyata dia menjadi pembantah yang nyata.
Dan hewan ternak telah diciptakan-Nya, untuk kamu padanya ada ( bulu ) yang menghangatkan dan berbagai manfaat, dan sebagiannya kamu makan. Dan kamu memperoleh keindahan padanya, ketika kamu melepaskannya ( ke tempat pengembalaan ). Dan ia mengangkut beban-bebanmu ke suatu negeri yang kamu tidak sanggup mencapainya, kecuali dengan susah payah. Sungguh, Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang,
(Surah An-Nahl : 4-7)

Dalam hidup juga, Allah mencipta kebahagiaan dan kedukaan. Semua itu sebenarnya adalah sebagai pelengkap kehidupan. Hidup tanpa rasa sakit sangat tidak realistik. Seolah robot yang tiada perasaan. Pasti bosan dengan hidup yang statik begitu. Lalu, Allah yang Maha Mengetahui memberi ujian kepada manusia mengikut kemampuan masing-masing. Tidak sedikit pun Dia zalimi. Ujian itu juga adalah hadiah daripada Allah. Tanda Allah perasan akan kehadiran kita. Tanda Allah rindu dengan doa kita.

credit : google

Bila berbicara soal hidup, memang tidak akan pernah habis. Setiap dari kita ada cerita tersendiri yang mungkin tidak pernah dikongsi dengan semua orang. Namun, satu perkara yang sangat mengharukan bilamana ada yang sudi berkongsi cerita. Banyak sangat perkara yang dapat kita muhasabah apabila kita tahu tentang hidup seseorang. 

Benarlah ada yang yang mengatakan,
"Don't judge people, you never know what kind of battle they're fighting"

credit : google

Perkongsian bersama adik-adik dalam satu halaqah baru-baru ini memang sangat membuka mata saya. Betapa setiap manusia ada kisah sendiri. Dan bila kita duduk bersama orang lain, kita sedar bahawa ujian yang kita lalui tidak sesukar mana.

Apa yang dapat saya reflek terhadap diri ialah siapalah kita, makhluk hina lagi jahil yang hendak hukum orang lain? Sedangkan kita tidak pernah tahu apa yang menyebabkan dia menjadi dia sekarang. Kerana itulah Islam, agama yang sungguh indah sangat menekankan tentang akhlak dan hubungan dengan manusia. 

Dan setiap orang pula dianjurkan untuk saling mengenali (taaruf), memahami (tafahum) dan membantu (takaful). - 3 rukun usrah

Semoga Allah merahmati adik-adik saya dan memberikan yang terbaik untuk mereka.
Semoga Allah meringankan beban dalam setiap jiwa-jiwa kita.

Semoga setiap ujian yang kita lalui bukanlah menjauhkan tetapi mendekatkan kita kepada Sang Pencinta.
Kerana seorang mukmin itu ialah seorang yang ajaib!

 “Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin. Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya” (Riwayat Muslim).


No comments: