Belajar daripada Wanita Columbia

Assalamualaikum.
Hola. Buenos Dias.

Alhamdulillah ada juga kesempatan untuk menulis di sini setelah beberapa minggu sibuk dengan berbagai-bagai perkara terutama assignments.

Saya hendak berkongsi tentang pengalaman saya berkenalan dengan seorang saudara baru kita yang sangat mengujakan untuk diceritakan. Saya kira banyak dalam kalangan pelajar muslim di the University of Queensland kenal akan satu susuk yang baru sahaja menjadi saudara baru kita. Tidak perlu untuk saya sebutkan namanya kerana saya rasa beliau tidak selesa untuk dihebahkan buat masa ini tentang penghijrahan beliau ke dalam Islam. Namun, namanya cukup indah sekali maksudnya, pure and clear yang sangat sesuai dengan beliau yang diberikan hidayah oleh Allah untuk kembali kepada fitrah sucinya.

Saya sangat teruja untuk bercerita kerana beliau mengajar kami banyak perkara. Antaranya, kesungguhan dalam menuntut ilmu. Saya berasa sangat rendah diri melihat kesungguhan beliau. Setiap kali beliau ke surau, beliau akan membawa sebuah buku nota dan sebatang pen untuk mencatit perkara-perkara baru yang beliau belajar. Beliau tidak malu bertanya walaupun karakter orangnya sangat pemalu (comel sebenarnya). Banyak nota yang beliau catit untuk lebih memahami Islam. Kadangkala beliau bertanya perkara yang kami tidak tahu dan hal ini sebenarnya menyuntik semangat kami untuk lebih mengenali deen ini juga. 

Selain itu, beliau juga mengajar kami (terutamanya saya) untuk mengenali dan mengingati orang lain. Setiap kali berjumpa dengan orang yang baru beliau kenali di surau, beliau akan mencatit nama mereka dan bertanya maksud nama mereka. Beliau juga bertanya tentang kesukaan-kesukaan mereka. Semasa kali kedua beliau menemui saya, beliau sukar mengingat nama saya, tetapi beliau ingat akan maksud nama saya iaitu Sky dan beliau memanggil saya Sky (tak pasti nama saya berasal daripada perkataan Arab atau bahasa lain tapi rasanya maksud nama sky). Entah mengapa saya sangat teruja apabila beliau memanggil saya Sky sebab saya sangat suka nama tersebut. Mudah-mudahan menjadi doa kerana kadangkala bila rasa serabut, saya akan memandang langit kerana langit sangat menenangkan. Mudah-mudahan Allah menjadikan manusia di sekeliling saya juga berasa tenang dengan saya. Kebetulan, beliau juga suka akan warna biru. Harap-harap beliau suka saya juga sebab langit warna biru (haha). 

Seterusnya, beliau juga mengajar kami untuk saling mengenali manusia pelbagai bangsa dan bahasa. Beliau belajar beberapa perkataan Bahasa Melayu dan saya juga belajar beberapa perkataan Bahasa Sepanyol. Dua hari lepas, Allah menggerakkan hati beliau untuk menginap di rumah saya satu malam. Pada malam tersebut, kami tidur agak lewat walaupun kami semua jenis yang tidur awal sebab masing-masing rancak bersembang. Masing-masing tak mahu lepaskan peluang untuk saling mengenali. Kami juga memberitahu beliau bahawa dalam Islam, tiada satu bangsa pun lebih daripada bangsa lain kerana memang sudah termaktub dalam kitab Al-Quran, sumber utama yang patut dijadikan panduan.

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(Q.S. Al Hujurat Ayat 13)


bukankah kita semua berteduh di bawah langit yang sama?

Kesimpulan daripada cerita saya ialah setiap hari kita akan berjumpa dengan banyak orang. Setiap orang mengajar kita banyak perkara dalam hidup. Kita hanya perlu bersikap terbuka untuk belajar perkara baru. Kadangkala kita terlalu taksub dengan kumpulan bangsa kita sehingga kita lupa bahawa kita semua manusia. Kita lupa bahawa warna darah kita semua sama. Hapuskanlah sikap-sikap perkauman yang tidak membawa kebaikan. Allah jadikan kita semua berbangsa-bangsa bukan untuk saling bertengkar tetapi untuk saling mengenali. Bukankah seronok dapat mengenali bangsa lain dan meluaskan hubungan silaturrhim? Hati rasa lebih bahagia dan tiada rasa dendam yang membara. 

Sekian.
Assalamualaikum (Salam sejahtera ke atas kamu)

Nota kaki:

Hola : Hai
Buenos Dias : Selamat Pagi