Rindu- Tere Liye

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selesai baca novel yang menyentuh perasaan, membuka fikiran dan sedikit sebanyak menjawab beberapa persoalan kehidupan. Novel ini best seller. Dalam masa setahun lebih, buku ini telah dicetak berbelas kali. Novel ini juga mendapat anugerah buku islami terbaik.

credit: google


Secara ringkas, novel Rindu ini berkisarkan tentang kerinduan kepada Ilahi. Berlatarbelakangkan tahun 1930-an, penulis berjaya membawa pembaca menelusuri zaman tersebut di mana untuk berangkat ke haji, masih menggunakan kapal laut. Sangat menarik bila baca, sebab dapat rasa betapa banyak pengalaman dapat ditimba dalam perjalanan sebulan di atas kapal berangkat ke haji. Betapa jiwa-jiwa disucikan dahulu sepanjang sebulan perjalanan sebelum melakukan haji. Banyak tempat dilewati sebelum sampai ke pelabuhan Jeddah. Banyak kisah menarik yang diceritakan. Sangat menarik dibaca sebab pada zaman sekarang, pengalaman menakjubkan seperti ini tak dapat kita rasakan.

Novel ini berkisah tentang masa lalu yang menyakitkan, kisah tentang persoalan-persoalan kehidupan yang baru ditemui jawapannya sekarang, dan kisah tentang harapan.

Sinopsis yang penulis beri di bahagian belakang buku tersebut berbunyi,

""Apalah arti memiliki, ketika diri kami sendiri bukanlah milik kami?
Apalah arti kehilangan, ketika kami sebenarnya menemukan banyak saat kehilangan, dan sebaliknya, kehilangan banyak pula saat menemukan?
Apalah arti cinta, ketika menangis terluka atas perasaan yg seharusnya indah? Bagaimana mungkin, kami terduduk patah hati atas sesuatu yg seharusnya suci dan tidak menuntut apa pun?
Wahai, bukankah banyak kerinduan saat kami hendak melupakan? Dan tidak terbilang keinginan melupakan saat kami dalam rindu? Hingga rindu dan melupakan jaraknya setipis benang saja”
Rindu- Tere Liye. Lima kisah dalam sebuah perjalanan panjang kerinduan."

Dalam novel ini, terdapat beberapa watak. Antaranya:

Gurutta Ahmad Karaeng: ulama' termasyhur yang sangat merendah diri dan bijak. Ulama' yang menjadi rujukan bagi penumpang yang sesak dengan masa lalu mereka. Namun, beliau sendiri punya persoalan yang tak mampu beliau jawab sendiri.

Daeng Andipati: seorang ayah dan suami yang penyayang, berpendidikan, baik hati. Di luar terlihat bagai mempunyai kebahagiaan sempurna tetapi masih menyimpan dendam benci terhadap ayah kandung kerana masa lalu yang menyakitkan.

Bonda Upe: Guru mengaji bagi anak-anak di atas kapal. Mempunyai kisah hitam pada masa lalu hingga tak mampu ia berjumpa dengan orang lantaran malu dengan masa lalunya. Hanya berjumpa di masjid untuk mengajar anak-anak mengaji. Selebihnya tak bergaul dengan orang.

Mbah Kakung: Seorang datuk yang tua. Sangat kasih kepada isteri yang dinikahi selama 60 tahun. Segalanya sangat sempurna kerana misi pergi haji yang lama telah dijanji untuk pergi bersama sedang dalam perjalanan untuk dikerjakan. Namun, kematian sang isteri semasa perjalanan di atas kapal merenggut bahagianya dan muncullah pertanyaan tentang takdir itu.

Ambo Uleng: Kelasi kapal yang tangguh. Bekerja di kapal tersebut hanya untuk melarikan diri daripada rasa patah hati dan kecewa dengan cinta. 

Menarik kisah yang digarapkan. Bagaimana misterinya takdir Tuhan. Kelima-lima mereka bertemu di atas kapal dan masing-masing menemukan jawapan kehidupan yang selama ini membuat sesak dalam dada.  Betapa, dalam kehidupan kita ini, sebenarnya kita banyak berjumpa dengan orang. Ada yang memang signifikan sekali kehadiran mereka dalam hidup kita. Ada yang hanya datang dan pergi malah terlupakan terus. Namun yang pasti, setiap dari kita mempunyai pengaruh terhadap kehidupan orang lain.

Perkara yang paling saya suka dalam novel ini:

Pertama, sisi kemanusiaan seorang manusia. Beliau sama sekali tak menggambarkan manusia yang begitu sempurna, terlalu idealistik. Bahkan ulama' yang beliau gambarkan mampu menjawab seluruh persoalan dengan bijak dan hikmah, pun memerlukan orang biasa untuk menjawab pertanyaan dalam hidupnya. Hal ini membuat kita berfikir, bahawasanya manusia itu sangat memerlukan satu sama lain. Kerana langsung, secebis apa pun tidak kita miliki di dunia ini. 

Kedua, hal yang saya suka dalam novel ini ialah gambaran kehidupan yang sangat dekat dengan kehidupan kita sendiri. Persoalan-persoalan yang ditimbulkan ialah tentang cinta, kematian, hubungan anak dan orang tua, dan kisah silam yang gelap. Persoalan-persoalan ini memang persoalan yang sering kita tanyakan dan ragukan. Kita ragu dengan hikmah yang belum tersingkapkan atas setiap kejadian. Kita ragu dengan rencana Tuhan dalam kehidupan. Kita sering bertanya tentang takdir Tuhan. Dan jawapan yang diberikan oleh watak Gurutta sangatlah hikmah dan dekat. Memang bila baca, rasa macam, ya Allah payahnya nak lakukan. Tapi, sebenarnya sebegitulah sepatutnya kita dalam menyikapi takdir yang mungkin kita rasakan seolah musibah bagi diri kita. 

Ketiga, saya suka dengan harapan-harapan yang ditawarkan dalam novel ini. Dan harapan-harapan inilah yang sebenarnya membuat kita rasa lebih tenang menjalani kehidupan yang belum pasti masa depannya. Harapan-harapan ini yang membuat kita rasa mampu berjalan walau dalam kepayahan memahami setiap kejadian. Harapan-harapan ini yang membuat dada terasa lapang walau banyak lagi tanda tanya yang tidak terjawabkan. 

Keempat, yang paling penting sekali ialah mesej yang disampaikan dalam novel ini ialah tentang betapa syumulnya Islam. Betapa Islam itu merupakan jalan kehidupan, bukanlah ritual-ritual kosong. Betapa Islam itu sentiasa menerangi jalan-jalan kehidupan. Melalui watak-watak dalam novel tersebut, terserlah Islam itu merupakan kehidupan. Islam yang menjunjung tinggi ilmu pengetahuan, Islam yang menawarkan harapan bukan hukuman, Islam yang bukan hanya hubungan dengan Tuhan tetapi juga dengan insan.

Konklusinya, bacalah buku ini. Buku yang bagi saya sangat dekat sekali dengan kehidupan. Boleh jadi, ada persoalan kita yang terjawab melalui buku ini, dengan izinNya. 
Saya bagi 4.5 bintang. Kenapa tak 5 bintang? sebab awal-awal buku ini agak lambat sedikit ceritanya. Tapi, tak mengganggu pun keseluruhan cerita. 

Really recommended!

P/S: Taknak tulis jawapan bagi setiap soalan yang diutarakan sebab nak awak semua baca. Hehe. Dan taknak reveal juga soalan Gurutta yang dijawab oleh orang yang dia nasihati sebelumnya. Kalau nak tahu, bacalah! :D