Assalamualaikum w.b.t
Siapa pernah dengar lagu "We Are Young" oleh Supergrass? Antara liriknya ialah :
We are young, we run free, keep our teeth nice and clean
See our friends, see the sights, feel alright
We wake up, we go out, smoke a fag, put it out
See our friends, see the sights, feel alright
Kalau kita tengok bait-bait lirik ini, kita dapat simpulkan bahawa orang muda banyak masa. Banyak sangat masa untuk dibazirkan. Setuju?
Kenapa kita banyak masa? Iya lah, kita cuma perlu fikir tentang diri kita, belajar kita, masa lapang kita. Ya Allah, saya sendiri sebagai pelajar, walau sibuk macam mana pun, mesti ada juga masa yang terbuang. Kalau lihat kawan-kawan, banyak sahaja masa untuk menonton korea, lepak kedai mamak, tonton drama, berhibur, karoeke, tonton wayang, main DOTA dan sebagainya. Jangan tipulah kalau kata kita tak banyak masa. Konon-konon sibuk. Acah saja tu kan?
Pernah tanya tak, siapa sebenarnya anak muda atau pemuda ini? Adakah mereka yang berusia belasan tahun? Atau yang berusia 20-an? Siapa sebenarnya pemuda? Apa peranan kita sebenarnya?
Kalau dilihat sekarang, pemuda seperti hilang identiti. Mereka keliru sama ada mereka masih kanak-kanak kerana masih dalam kategori muda atau mereka sebenarnya sudah dewasa? Lantas, anak muda berkelakuan seperti kanak-kanak yang masih bermain-main dan hidup dengan alamnya sendiri. Lebih suka membazir masa dan terjebak dengan hal yang tidak sepatutnya. Aneh.
Saya ingin berkongsi tentang definisi anak muda atau pemuda dari tokoh Islam yang tidak asing lagi, Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna,
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Ciri-ciri pemuda yang dinyatakan ialah :
1. Keyakinan
2. Kejujuran
3. Semangat
4. Tindakan
Sifat-sifat pemuda seharusnya seperti singa yang berani bukan kijang yang pengecut dalam kehidupan kita sehari-hari. Sayangnya, pemuda kini dilemah-lembikkan dengan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya ada dalam kamus hidup mereka. Jati diri semakin hilang dibawa aliran pemikiran yang salah.
Seorang pemuda sepatutnya ingin berdiri dan dikenali dengan nama sendiri, bukan orang lain. Kita mahu orang memandang kita atas segala yang kita ada bukan merendahkan kita.
Seorang pemuda seharusnya:
1. Lebih memikirkan orang lain lebih daripada diri sendiri. Saya ada menulisnya di artikel ini : http://cikzura95.blogspot.com/2014/06/how-many-percent-do-we-use-our-brain.html
2. Buat dakwah dengan sebetulnya dari segi niat, cara dan perbuatan
Kita kini ketandusan pemuda yang benar-benar pemuda kerana kita tidak tahu betapa bernilainya kita di mata Allah hinggakan Allah merakamkan tentang pemuda dalam surah Al-Kahfi : 13
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)
Allah menyebut secara spesifik perkataan pemuda dan Allah menggunakan perkataan فِتْيَةٌ dan bukannya syabab atau perkataan lain yang juga bermaksud remaja. Kenapa?
Kerana perkataan فِتْيَةٌ bermaksud jiwa pemuda.
Sebenarnya, pemuda itu bukan terletak pada umur, tapi pada ciri-cirinya.
Cuma, sayanglah, kalau kita yang masih muda dan bertenaga melengah-lengah dan menjadi tua sebelum masanya. Amat rugi. Kerana satu masa, kita juga akan ditanya tentang masa muda kita.
Selamat menjadi pemuda. Pasakkan langkahmu dan bergeraklah. Pemuda, diri kita begitu berharga. Moga kita tidak merendahkan nilai diri kita. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment